Thursday, June 18, 2009

Hospital Terengganu kurangkan waktu melawat elak H1N1

KUALA TERENGGANU 18 Jun - Terengganu mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penyebaran virus selesema influenza A (H1N1) dengan mengurangkan waktu melawat di semua hospital kerajaan di negeri ini bermula esok.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Nordiyanah Hassan berkata, tindakan mengurangkan waktu melawat selama sejam itu adalah sejajar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Justeru, katanya, waktu melawat pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang akan dipendekkan kepada 1 petang hingga 2 petang.

Beliau berkata, waktu melawat antara pukul 4 hingga 7 malam juga akan dipendekkan kepada pukul 5 hingga 7 malam.

''Langkah ini diambil bagi mengurangkan penyebaran virus selesema H1N1 terutama di hospital yang merupakan tempat para pesakit mendapatkan rawatan. Langkah ini mula berkuatkuasa esok sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan semalam mengumumkan kes penularan tempatan pertama virus itu di negara ini. Utusan

Monday, June 15, 2009

Pantai Timur HIV/Aids tertinggi

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Negeri-negeri di Pantai Timur mencatatkan kes HIV/Aids tertinggi di negara ini dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas.

Kelantan, Pahang dan Terengganu menduduki senarai lima negeri teratas dalam kes jangkitan penyakit itu dalam tempoh berkenaan.

Kes HIV/Aids paling tinggi dicatatkan ialah di Kelantan iaitu 346 kes diikuti Johor (269), Selangor (223), Pahang (166) dan Terengganu (140).

Ini diikuti Kedah (117), Wilayah Persekutuan (70), Perak (71), Sarawak (84), Sabah (55), Melaka (37) dan Perlis (27).

Angka ini didedahkan oleh Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, Tunku Panglima Besar, Datuk Seri Tunku Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim dalam kertas kerja bertajuk Kesedaran HIV/AIDS.

Kertas kerja itu dibentangkan pada Persidangan Pesuruhjaya Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di sebuah hotel di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, beberapa perkara dikesan sebagai faktor utama jangkitan HIV/Aids antaranya penempatan berhampiran sempadan dan kewujudan banyak industri perkilangan

Kertas kerja itu menyebut, mereka yang dikenal pasti dijangkiti HIV/Aids ialah yang bekerja sebagai nelayan dan terlibat dalam industri perkilangan serta mereka yang bekerja dalam sektor swasta.

Beliau berkata, mereka yang dijangkit HIV/Aids tidak mempunyai suara dalam masyarakat dan menjadi mangsa stigma serta diskriminasi sehingga memberi kesan kepada ahli keluarga yang lain.

''Golongan berkenaan memerlukan sokongan untuk mereka meneruskan kehidupan agar tidak lagi terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral," ujarnya.

Beliau memberitahu, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko dan tekanan terhadap penghidap HIV/Aids termasuk kaunseling, rawatan serta pemulihan untuk memastikan mereka dapat hidup dalam bermasyarakat seperti insan yang lain.